Sunday, November 30, 2008

TENTANG SEORANG GURU

Source : Berita Harian, 29 November 2004

Faridah jadi aspirasi pelajar ACCA, perakaunan UiTM

PROFESOR Madya Faridah Ahmad adalah salah seorang ahli ACCA (the Association of Chartered Certified Accountants) yang mengambil keputusan untuk memberi sumbangan melalui pendidikan.
Kini, setelah memiliki pengalaman luas di dalam dan luar negara, beliau menjadi pensyarah di Fakulti Perakaunan, di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Sejarah beliau dengan ACCA bermula selepas menamatkan pengajian sekolah menengahnya pada 1970-an. Faridah kemudian mengambil kursus Diploma Perakaunan di UiTM pada 1972.
Tiga tahun kemudian, Faridah dengan berbekalkan sijil diploma memulakan kerjayanya dalam industri kewangan dan perakaunan.

Dengan semangat dan daya usaha tinggi, Faridah mempelajari teori perakaunan, kewangan sehingga beliau mampu memegang jawatan lebih tinggi.
Namun, untuk menjadikan beliau lebih berjaya di bidang perakaunan, beliau perlu kelayakan profesional. Atas keperluan itulah, Faridah membuat kajian mengenai kursus-kursus profesional terbaik, di samping berbincang dengan rakan sekerjanya. Akhirnya, Faridah mengambil keputusan melanjutkan pengajiannya dalam kursus profesional ACCA.

"Saya sedar ACCA adalah pilihan terbaik kerana ramai rakan sekerja yang mempunyai kelayakan ini kini memegang jawatan yang tinggi.

"Saya juga ingin menjadi salah seorang daripada profesional yang sentiasa berjaya walau di mana saya berada. ACCA adalah kelayakan profesional yang terkenal di serata dunia. Saya yakin dengan adanya ACCA, saya boleh terus maju dalam kerjaya saya" katanya.

Faridah kemudian mengambil keputusan berhenti kerja dan berpindah ke United Kingdom untuk mengikuti pengajian ACCA di sana. Walaupun tiada bantuan kewangan dan tiada pengalaman berada di negara orang, cabaran itu tidak melunturkan semangatnya.

"Dalam zaman 70-an, tidak ramai yang mempunyai peluang untuk belajar di luar negara. Oleh itu saya bertekad untuk mendapatkan kelayakan ACCA.

"Memang saya pergi ke UK dengan tangan kosong. Namun, saya mempunyai impian yang tinggi dan ingin kembali ke tanah air dengan kelulusan ACCA. Jadi, saya terpaksa berusaha gigih agar cita-cita tercapai," katanya.

Ketika di UK, Faridah bekerja sambilan di Arthur and Andersen, sebuah firma perakaunan terkenal di dunia ketika itu, sebagai pekerja sambilan. Pada masa sama, Faridah mendaftar diri dalam kursus profesional ACCA sepenuh masa.

"Saya terlalu yakin boleh lulus cemerlang dalam ACCA kerana peperiksaannya pada peringkat awal bagi saya - mudah. Namun, setelah lulus peringkat awal dan mara ke peringkat yang lebih , saya ketahui betapa susah sebenarnya untuk mendapatkan kelayakan ACCA ini," katanya.

Menurut Faridah, pada zaman 70-an tiada komputer ataupun internet. Beliau terpaksa belajar dengan tekun dan bergantung penuh kepada nota yang diberi pensyarah, buku teks dan buku tambahan dari perpustakaan.

Berkat azam tinggi, Faridah akhirnya berjaya dalam pengajian dan memiliki kelayakan profesional ACCA.

Faridah ditawarkan jawatan pensyarah di UiTM pada tahun 1980. Lapan tahun kemudian, beliau dinaikkan pangkat kepada pensyarah kanan, seterusnya, menerima jawatan profesor madya sehingga kini.

Kini Faridah menjadi aspirasi kepada pelajar ACCA dan perakaunan di UiTM. Ramai pelajarnya kini menjawat jawatan tinggi di pelbagai syarikat dalam pelbagai industri.

Untuk keterangan lanjut mengenai kelayakan profesional ACCA sila layari laman web www.accaglobal.com atau email kepada info@my.accaglobal.com

0 comments:

 
Header image by sabrinaeras @ Flickr